Blogroll


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Sunday, December 21, 2008

Mesej Islam Dan Warga Pekak

MESEJ ISLAM DAN WARGA PEKAK
Islam tidak pernah memandang umatnya berbeza dari segi paras rupa atau fizikal. Islam memandang amal dan takwa serta menyanjung sifat Muslimin dan Muslimah yang sejati terutamanya dalam hal menuntut ilmu.
Tidak kira sama ada seseorang Muslim itu normal atau cacat, kesungguhan dalam mendalami Islam merupakan suatu tuntutan. Pernah diriwayatkan bahawa pada suatu hari Rasulullah s.a.w. telah didatangi oleh Ummu Maktum, iaitu seorang yang cacat penglihatan. Pada ketika itu Rasulullah s.a.w. sedang sibuk melayani para penguasa Quraisy dan mendakwah mereka kepada agama Islam. Melihat kehadiran Ummu Maktum, baginda pun memalingkan muka baginda daripada beliau kerana ingin menumpukan perhatian kepada para penguasa Quraisy tersebut.
Dengan kejadian itu, Allah s.w.t pun mewahyukan ayat 1-11, Surah Abasa yang bermaksud:“Ia memasamkan muka dan berpaling kerana ia didatangi orang buta. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya wahai Muhammad)? Barangkali ia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapati daripadamu)! ataupun ia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya. Adapun orang yang merasakan keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi ( kepada ajaran al-Quran), maka engkau bersungguh-sungguh melayaninya.
Padahal engkau tidak bersalah kalau ia tidak mahu membersihkan dirinya (daripada keingkarannya). Adapun orang yang segera datang kepadamu, dengan perasaan takutnya (melanggar perintah-perintah Allah) maka engkau berlengah-lengah melayaninya. Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu! Sebenarnya ayat-ayat Al-Quran adalah pengajaran dan peringatan (yang mencukupi).”Kisah di atas, walaupun menyebut tentang ‘orang buta’, ia merangkumi golongan kurang upaya yang lain yang seharusnya tidak ketinggalan dalam proses mendapatkan ilmu pengetahuan dan dakwah Islamiah.
Kesungguhan mereka yang mendapatkan ilmu agama dan juga keprihatinan guru yang mengajar membawa kepada keberlangsungan sesuatu ajaran itu masuk ke dalam jiwa orang yang menuntut ilmu.Berbalik kepada golongan pekak, mereka hanya bergantung kepada bahasa isyarat untuk memahami apa yang disampaikan oleh pendakwah. Alhamdulillah, media eletronik masa kini sudah mula menempatkan jurubahasa isyarat semasa khutbah Jumaat yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen. Medium yang digunapakai oleh warga pekak hanyalah yang berbentuk visual dengan jurubahasa isyarat di sampingnya.
Malangnya, kekurangan jurubahasa isyarat menjadi penyebab utama mesej dakwah itu sampai kepada warga pekak dengan cara yang tidak sempurna. Mereka masih memerlukan jurubahasa isyarat untuk menghayati ceramah-ceramah agama yang diadakan di masjid-masjid dan tempat-tempat tertentu. Mereka juga perlu memahami isi kandungan al-Quran yang menjadi pelengkap kepada Islam yang mereka sanjungi.
Selain itu, komunikasi berkesan juga amat diperlukan ketika mereka mahu menyuarakan pendapat dan persoalan tentang sesuatu perkara terutamanya apabila berurusan dengan jabatan agama atau institusi keagamaan yang ada.Berbicara soal urusan dengan jabatan agama Islam, warga pekak sering diketepikan atas alasan tiada komunikasi yang baik antara kakitangan sektor awam ini dengan warga pekak. Mana mungkin warga pekak dapat menyuarakan persoalan agama kepada kakitangan jabatan agama Islam dengan menggunakan kaedah isyarat tangan yang tidak difahami oleh kakitangan tersebut.
Bagaimana pula keadaan warga pekak yang berkeinginan menunaikan ibadah haji atau menunaikan umrah di Mekah? Bagaimana mungkin mereka dapat menjalani ibadah itu dengan sempurna tanpa jurubahasa isyarat membantu aktiviti keagamaan mereka di Tanah Suci itu.Masalah orang pekak dan aktiviti dakwah Islamiah pernah dikaji oleh seorang pensyarah dari Jabatan Dakwah dan Antropologi, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Kampus KUSZA Gong Badak, melalui kajiannya, “Bahasa Isyarat Malaysia (MySL) sebagai Wahana Dakwah: Kepentingannya Dalam penghayatan Agama Warga Pekak”.
Kajian beliau telah dibentangkan semasa Seminar MySL pada 23 hingga 25 Ogos 2007 di Johor Bahru. Melalui kajian itu, beliau mendedahkan bahawa warga pekak juga terlibat dengan beberapa kes keruntuhan akhlak, bermasalah dengan institusi keagamaan dan sukar mendekati dakwah Islamiah tanpa kemahiran berbahasa isyarat yang baik.

No comments: