Blogroll


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday, January 1, 2009

Kecacatan fizikal bukan halang pelajar OKU berjaya PMR dgn cemerlang

Buta Tidak Halang Pelajar Raih Kejayaan PMR

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Beberapa pelajar buta meraih kejayaan dengan mendapat sehingga 9A pada peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini yang diumumkan Selasa.

Kecacatan mereka tidak menghalang untuk memperoleh kejayan seperti rakan-rakan mereka yang sempurna fizikal.

Di BACHOK, Kelantan, Wan Siti Noraimah Busyra pelajar Sekolah Menengah Agama Tok Bok memperoleh 9A yang dianggapnya sebagai hadiah paling bermakna bagi ayahnya yang bekerja sebagai petani.

"Ini hadiah untuk ayah yang bersusah payah menyekolahkan saya," katanya ketika ditemui di sekolahnya di sini.

Di JOHOR BAHARU, Noorilham Ismail, pelajar Maktab Sultan Abu Bakar, di sini, biarpun hanya mendapat 4A dan 4C dan belajar menggunakan tulisan braille, disenaraikan pelajar kedua terbaik daripada 11 pelajar cemerlang kategori pendidikan khas negeri Johor.

"Bijak membahagikan masa belajar selain sokongan ibu bapa dan guru-guru merupakan rahsia kejayaan saya. Saya harap kejayaan ini menjadi ikutan kepada rakan senasib untuk lebih berjaya," katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan PMR Johor.

Ibu Noorilham, Salimah Kasim, 54, seorang suri rumah, ketika ditemui berkata usahanya bersama suami, Ismail Jaafar, 54, peneroka Felda, tercapai hari ini untuk memastikan anaknya itu yang merupakan anak kedua daripada tiga adik-beradik itu mendapat pendidikan sempurna.

"Ibu mana yang tidak sedih melihat anak yang dilahirkan normal tiba-tiba menjadi buta. Noorilham pernah tidak bersekolah selama beberapa tahun sebelum diberikan peluang belajar di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth dan kemudian menyambung peringkat sekolah menengah di Maktab Sultan Abu Bakar," katanya.

Pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Gudang 2, Low Zhin Mein, 16, yang cacat pendengaran juga membuktikan kecacatan fizikal bukan penghalang mendapat 7A dalam semua mata pelajaran yang diduduki.

Bapanya, Low Piang Hun, 50, ketika ditemui berkata anaknya memperuntukkan antara dua hingga tiga jam sehari untuk mengulang kaji pelajaran.

"Anak saya tidak mempunyai jadual belajar yang tetap. Untuk meningkatkan tahap pendengarannya, beliau belajar sambil mendengar radio," katanya.

-- BERNAMA

No comments: